Sunday, 11 September 2011

RINDU - PART 1

Ada benda akan kita rindu bila berjauhan.  Definisi berjauhan yang aku maksudkan tidak tersekat dalam konteks bercinta. Kita bebaskan kepada perspektif yang lebih luas, rindu kepada ibu, rindu kepada kehidupan sekolah, dan rindu kepada diri yang lalu. Perasaan yang secara tiba-tiba timbul. Tidak, ini bukan magis tetapi ini kurnia. Satunya perasaan yang buat kita terhubung dengan kenangan bersama. Dalam terburu-buru mengejar hidup, manusia hanya dapat berpegang kepada kenangan untuk dijadikan kekuatan menduga cabaran yang datang.

Jangan dipersoalkan mengapa aku menulis sesuatu yang tampak serius di sini. Jawapannya selari dengan keadaan jiwa, RINDU. Rindu perkara kecil, rindu perkara besar, rindu isi rumah, rindu penyeri hidup, rindu pendengar setia, rindu penghapus duka, rindu pelukan hangat. Pendek kata RINDU ITU SEMUA.


  •  Ya, berani aku kata aku agak anak emak. Aku berhenti tidur bersama ibu sepenuhnya pada lewat umur 20-an. Bercerita sebelum tidur dan bila ibu lena, dengkuran ibu adalah dodoian untukku. RINDU ITU. 


  • Bila ibu sedang menonton television riba ibu adalah bantal buat aku turut serta menonton. Rambut dibelai lembut. Aku pula suka mencubit-cubit lemak di lengan ibu. Tahu kaki ibu lenguh tapi ibu tidak sekali mengeluh. Itu lah ibu. Superwoman. RINDU ITU.  


  • Jika mencari ibu atau memanggil ibu, aku tidak menggunakan panggilan ibu, emak, ummi atau apa-apa saja. Aku lebih suka memanggil namanya dengan nada manja. Bagi aku itu menarik. Bagi aku itu istimewa. Kadangkala aku akan bertanya "hai seksi, buat apa itu?" kepada ibu.  Ibu kita seksi dimata kita bukan? RINDU ITU.

  • Pada hari kerja, hari ibu bermula seawal 4 pagi lagi. Dulu masa di bangku sekolah  aku bergilir-gilir dengan kakak menolong ibu. Goreng karipap, donut, nugget, masukkan sambal ke dalam bekas, parut kelapa dan punggah barang ke dalam kereta. Ke kantin  susun cawan, lap pinggan dan sudu garfu sebelum berangkat ke sekolah. Iya, aku bekas abang kantin bertauliah. Sudah lama tidak berpeluang menolong. Teringin rasanya. RINDU ITU.


Banyak lagi benda yang saya rindu. Boleh kata semuanya tertinggal di Malaysia. Tunggulah part seterusnya kalau ada ya. Tidak, ini bukan homesick tetapi sedikit rindu yang buat aku semakin hargai apa yang aku ada. Dan tidak, hari ini bukan hari ibu kerana aku sengaja ingin menulis agar kita semua sama-sama usaha membahagiakan ibu kita.

3 comments:

NUke_Rude said...

:)

bagus. Rindu akan benda2 mcm tu lg berbaloi.

Unknown said...

rindu ajid! hoho... aku rindu nak terbang

MH08 said...

nice =)